Friday, October 12, 2012

Our Hero Turns 6!

Mama..mama...nanti harijadi saya, saya nak kek boboiboy yang ada Fang...lepas tu saya nak hadiah jam, dengan PSP...

Kalau melayan kehendak anak, memang pening..hari ni mintak ini, hari lain mintak lain pulak...tapi kali ni..nampak consistency dalam permintaan anak bujang saya yang telahpun meniti 6 tahun perjalanan hidup...Alhamdulillah, Allah beri kesempatan pada saya untuk mengandungkan, merasai alahan semasa mengandung, merasa pergerakan bayi di dalam perut, merasai kesakitan sewaktu melahirkan, merasai kesan selepas melahirkan, menyusukan dengan susu badan, merasai nikmat kucupan sayang hampir setiap dari mula tahu untuk mengucup sayang...syukur Alhamdulillah...nikmat yang mungkin ramai ibu-ibu lain turut merasainya. Inilah anak sulung saya, wajah persis campuran saya dan suami, lemah lembut dalam berkata-kata, tidak pandai melawan, anak yang taat pada mama dan ayah, bijak dimata mama, papa dan adik. Cukupla kesempurnaan itu hanya dimata kami sekeluarga. Bersyukur sangat-sangat, Allah memberi izin untuk saya memiliki anak sebaik anak ini..Alhamdulillah..apa lagi yang dapat saya tuturkan selain Alhamdulillah.

***********************************************************************************

Harini pada tahun masehi, 2006, 6 tahun yang lalu, jam 4.45 petang, lahirlah seorang pejuang.

Saya hanya mengetahui yang saya sebenarnya telah bersedia untuk bersalin semasa rawatan bulanan yang terakhir. Doktor pakar membuat andaian bahawa saya mungkin lambat lagi bersalin disebabkan kepala bayi masih tinggi. Jadi semasa rawatan terakhir, doktor kerap bertanya sama ada tanda-tanda bersalin telah berlaku kepada saya atau belum. Saya haya mampu menidakkan. Lalu beliau membuat semakan "intrusive" kepada saya. Secara spontan, beliau berkata, jalan keluar dah buka 2 cm, lalu bertanya kembali untuk pengesahan kepada saya, sama ada saya ada mengalami kontraksi. Saya hanya mampu geleng kepala dan tersenyum-senyum.

Macam mana rasa kontraksi, period pain pun tidak pernah

Hati berdetik. Saya masih kekal positig untuk menghadapi ayat-ayat seterusnya dari doktor pakar. Beliau menyarankan saya untuk masuk ke wad bersalin keesokkan harinya. Saya masih berpuasa, ya, masa itu adalah Ramadhan, saya bercita-cita untuk melahirkan semasa malam yang dikatakan turunnya Al-Quran, tapi sudah terlepas. Lalu saya berazam untuk melahir pada hari-hari yang ganjil dalm bulan Ramadhan.

Saya dan suami berpandangan. Saya tidak pasti apa yang suami fikirkan. Adakah beliau takut kehilangan saya, maklumlah, orang kata bersalin ni antara hidup dan mati. Saya pula terfikir apalah kesudahannya nanti, mampukah saya menghadapinya secara semulajadi? Saya menolak "induction" dan jugak menolak bantuan "epidural". Sebenarnya lebih takutkan jarum dari saket. Saket bersalin memang tidak pernah hadir dalam imaginasi saya - adakah seperti menghadapi sakaratulmaut?

Jam 11 malam, pergi menyerah diri di bahagian "emergency". Bidan mula memeriksa menggunakan alat CTG untuk mengesan kehadiran kontraksi. Saya diberitahu, kontraksi agak kuat tetapi masih jauh jaraknya antara satu sama lain. Bilik single masih penuh, jadi saya diberi bilik suite yang agak besar, tetapi perlu ditampung sedikit kos nya untuk satu malam, sebab kelayakan saya hanyalah bilik single. Lalu berehatlah saya dalam berdebar-debar. Setelah subuh, bidan datang memeriksa lagi, dan memberitahu saya akan dimasukkan ke bilik bersalin dalam pukul 8.30 pagi. Waktu subuh telah masuk, jadi saya bersolat dahulu. Solat yang masih boleh dilakukan sementara belum masuk ke bilik bersalin.

Di dalam bilik bersalin, saya tidak dibenarkan bangun kecuali untuk ke bilik air. Pundi kencing dikosongkan menggunakan catheter yang sangat tidak selesa dan perit. Dalam hati memang saya menyumpah-nyumpah prosedur itu, membuatkan saya berada dalam mood yang tertekan. Selain itu, setiap sejam, akan datang bidan yang berbeza untuk periksa bukaan secara seluk yang sangat pedih dan tidak selesa. Hanya apabila doktor pakar sendiri melakukan, saya merelakan kerana kepercayaan saya pada kepakaran beliau. Doktor meletakkan jangkaan yang saya dah boleh bersalin selepas tgh hari dalam pukul 1 - 2 petang.

Pukul 1.15 petang, doktor pakar datang kembali, dan periksa. Masih belum "full dilate". Jadi doktor telah memberi kata putus, kalau masih tidak ada kemajuan, saya terpaksa dibedah kerana air ketuban semakin sikit. Doktor memberi ruang masa sehingga jam 5 petang. Saya cuak.

Ya Allah, permudahkan urusanku ini Ya Allah, buka lah jalan keluar untuk bayi ku ini..

Doa saya di dalam hati tidak berhenti-henti, sambil mulut kumat kamit membaca doa Nabi Yunus. Berkali-kali juga meminta maaf dari suami andai ada dosa-dosa saya dengan beliau yang menyebabkan kesukaran saya kali ini. Berteguk-teguk sampai habis sebotol air mineral 1.5 liter, air rendaman akar fatimah saya minum. Saya meminta suami menelefon mak yang menunggu di wad, supaya mendoakan saya dipermudahkan proses bersalin. Saya betul-betul tidak mahu dibedah. Saya ngeri. Pisau dan jarum. Mak jugak tidak putus-putus menghadiah surah yassin di bilik dan bersolat hajat untuk saya.

Saya hampir mengalir air mata sebab takut dibedah. Saya curi-curi meneran sebab teringat cerita seorang kakak di pejabat yang beliau meneran sedikit-sedikit untuk percepatkan proses bersalin. Dalam pukul 4 petang, seorang bidan datang menjenguk. Dalam kerisauan bidan terus memeriksa bukaan. Sudah ada peningkatan, sudah 8cm, lalu bidan tersebut duduk bersama saya, sambil mengurut laluan untuk membantu saya.

Sabar yer, biar saya tolong awak, sikit saja lagi, InshaAllah, kejap lagi kita panggil Doktor...

Bidan itu terus memberi motivasi kepada saya yang sebenarnya ketakutan mengatasi kesakitan yang sedang dialami. Sambil membantu saya, bidan tersebut turut mendoakan saya dengan doa Nabi Yunus. Saya berasa sangat terharu, orang asing mendoakan saya. Allah sungguh sayang kepada saya dengan memberi peluang kepada saya bertemu bidan ini, berada bersamanya di saat saya mungkin hampir mati!

Dalam pukul 4.30 ptg, doktor pakar pun tiba dengan terkocoh-kocoh kerana staff sudah cuba lebih 10 minit untuk mendapatkan beliau. Bukaan sudah berada pada tahap "full dilate". Sakitnya memang pertama kali menanggung, nurse beri gas untuk saya sedut bagi menahan sakit tersebut. Suami kelihatan panik dan berang. Mungkin tidak sanggup melihat saya meronta-ronta kesakitan sambil mengalir airmata.

Teran kali pertama, baru "crowning", teran kali kedua, tiada kemajuan, doktor beri saya rehat sekejap, nampak saya keletihan, lalu melakukan episiotomy yang menyebabkan saya menjerit kerana terlalu terkejut dengan bunyi rentapan tersebut. Nurse memarahi saya kerana dengan menjerit tenaga saya akan hilang. Paling menyedihkan, suami turut memberi amaran kepada saya supaya diam jangan menjerit. Saya menangis di dalam hati. Doktor yang baik memberi amaran pula kepada nurse tadi supaya biarkan saya nak jerit ke apa sebab beliau faham, tahap tolerasi seseorang terhadap kesakitan berbeza-beza. Lagipun saya tengah berjuang antara hidup dan mati, tiada hak untuk orang lain memarahi saya. Ini hidup dan mati saya!

Cepat-cepat-cepat-cepat, ambil vacuum...

Doktor dengan pantas menarik kuar anak sulung saya dari dalam perut saya. Disambut nurse lalu dibersihkan dan dinangiskan. Jam di dinding menunjukkan pukul 4.45 petang. Putih bersih anak itu setelah ditunjukkan kepada saya. Airmata mengalir serta-merta. Perasaan bersyukut pada Allah datang bertubi-tubi dalam diri saya kerana saya pasti saya masih hidup, dan saya telah melahirkan seorang manusia yang bernyawa sebentar tadi. Doktor pantas melakukan kerja-kerja jahitan dan pembersihan luka. Saya hanya mampu merelakan. Perasaan puas memenuhi segenap tubuh saya. Puas melahirkan seorang bayi lelaki, penyambung keturunan untuk suami.

Setelah dibersihkan, suami mengazankan bayi yang baru menjenguk dunia. Setelah itu, bidan meletakkan bayi di atas badan saya untuk disusukan. Dengan bantuan nurse, bayi tersebut seolah-olah tahu cara melekapkan mulut pada puting, dan terus menghisap susu lagak seperti sudah biasa dengan situasi itu. Gembira tidak terkata di dalam hati saya, dan kagum dengan intelektual bayi yang baru beberapa minit dilahirkan, sudah pandai menyusu! SubhanAllah!

Ya Allah, murahkanlah rezeki anak ku ini agar dia dapat menikmati susu ibu dari ku selama 2 tahun sekurang-kurangnya...

Itulah doa saya di dalam hati semasa pertama kali melihat aktiviti penyusuan antara saya dan bayi.

*********************************************************************************
Sekarang bayi itu telah pun besar, 6 tahun umurnya. Anak yang mama paling sayang, sentiasa sayang, tidak putus sayang. Semoga terus menerus menyanyangi mama dan setia dengan mama. Anak yang sentiasa Allah murahkan rezeki untuknya, Alhamdulillah. Semoga membesar dengan sihat dan menjadi insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t.

Selamat hari lahir anakku....Mama sayang selalu...


1 comment:

Ratu Hatiku said...

Selamat hari lahir! Semoga menjadi anak yg soleh.. Amin...